Lima Adun termasuk Adun Pas dilantik Exco Perak

Lima Adun termasuk Adun Pas dilantik Exco Perak

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk dua Adun Pas mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Kinta, di sini, hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat pelantikan yang diadakan secara ringkas dan tertutup.

Dua Adun Pas berkenaan ialah Razman Zakaria (Adun Semanggol) dan Mohd Akmal Kamaruddin (Adun Selama).

Turut dilantik ialah Adun daripada Umno yang mewakili Barisan Nasional, Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering) serta dua Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) dan Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau).

Kelima-limanya sebelum ini adalah anggota Exco ketika kerajaan Perak dipimpin bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Majlis angkat sumpah itu hanya dihadiri Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sementara itu, Saarani berkata, kelima-lima Exco itu menggenapkan senarai 10 Exco seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau akan melihat semula senarai portfolio bagi kesemua barisan exco berkenaan.

“Pertama ada pertukaran kerana ada seorang yang baru masuk iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, yang kedua saya kena melihat semula tentang kesesuaian bagi setiap individu Exco dan juga perancangan pembangunan kerajaan negeri.

“Sudah tentu barangkali ada sedikit perubahan atau pertambahan pada portfolio, saya perlukan sedikit masa untuk sehari dua ini kerana perlu memberikan perhatian kepada bajet,” katanya kepada pemberita di perkarangan Istana Kinta, hari ini.

Beliau berkata, senarai porfolio Exco akan diketahui selewat-lewatnya pada mesyuarat Exco, Rabu depan.

Pada 10 Disember lalu, empat Adun Perak daripada Umno dan seorang daripada Bersatu mengangkat sumpah sebagai Exco di Istana Iskandariah.

Mereka ialah Adun Sungai Manik yang juga Setiausaha Bersatu Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin manakala Adun Umno ialah Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang), Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Dalam perkembangan lain, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, hari ini.

Beliau tiba pada jam 10.50 pagi bagi memaklum sembah perkembangan politik sebelum meninggalkan istana 50 minit kemudian.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/653506/lima-adun-perak-dilantik-exco-metrotv