LHDN saman Addy Kanna tuntut bayaran tunggakan cukai RM1.42 juta

LHDN saman Addy Kanna tuntut bayaran tunggakan cukai RM1.42 juta

 

Kerajaan Malaysia melalui  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap ahli perniagaan Datuk Addy Kana bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan tertunggak selama dua tahun bernilai RM1.42 juta.

Menurut laporan Kosmo, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Addy Kana atau nama sebenarnya Zaidi Kanapiah, 37, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah, plaintf mendakwa Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” kata Kerajaan pernyataan tuntutan itu.

Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya  yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

Pernyataan itu turut mengatakan untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

Justeru plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Menerusi semakan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 November ini untuk memaklumkan mengenai status serahan saman itu.

Pada 27 April lalu,  Mahkamah Persekutuan memerintahkan Addy Kana dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian, dibebaskan dengan serta-merta.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus.

Pada 28 Oktober lalu, Kerajaan Malaysia memohon untuk melucutkan hak wang yang terdapat dalam akaun peribadi ahli perniagaan, Alvin Goh dan isteri  Ady Kanna serta tiga syarikat mereka berjumlah RM517,113.33 selepas disyaki terlibat dengan aktiviti haram.

Permohonan itu difailkan pada 29 September lalu melalui beberapa notis usul dengan menamakan Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, 33, dan syarikat miliknya, Malaysia House of Internet Sdn. Bhd. dan Networld Computer (KL) Sdn. Bhd. sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah isteri Addy Kanna, `Datin’ Alyaa Suhaila Mohamad Shariff, 34, dan sebuah syarikat, Nine Nine International Sdn. Bhd.