Letak rokok seludup dalam gudang sewa

Letak rokok seludup dalam gudang sewa

Serbuan di sebuah gudang di Jalan Air Kuning di sini, hari ini membawa kepada penemuan 10,128 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM400,000.

Polis turut menahan lelaki warga emas berusia 67 tahun dipercayai pemilik gudang itu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya melakukan serbuan pada 1.30 tengah hari hasil risikan dan maklumat awam berhubung penjualan rokok seludup di kawasan Pokok Assam.

Katanya, pemeriksaan dalam gudang itu menemui, 202 kotak besar berisi rokok tanpa cukai, manakala 28 karton rokok lagi dijumpai dalam sebuah van jenis Toyota yang diletakkan di dalam gudang itu.

“Modus operandi suspek ialah menghantar rokok dipesan pelanggan menggunakan van itu yang yang dipercayai memakai nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Polis juga menjumpai beberapa lagi plat nombor pendaftaran kenderaan yang palsu. Siasatan awal mendapati van itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat rekaan fesyen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Superintendan Razlam Ab Hamid.

Osman berkata, siasatan mendapati gudang milik lelaki warga emas itu disewakan kepada seorang individu dipercayai berada di Kuala Lumpur pada kadar RM2,000 sebulan.

“Identiti penyewa itu sudah dikenal pasti dan kita percaya kegiatan dilakukan lebih daripada seorang individu. Polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman bagi warga emas itu esok.

“Semakan menunjukkan dia mempunyai dua rekod kesalahan berkait Seksyen 324 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya

Menurutnya, ujian air kencing lelaki itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sumber: Harian Metro