‘Lemang gergasi’ gegar warga Perak

‘Lemang gergasi’ gegar warga Perak

Acap kali tibanya Ramadan dan Syawal, hidangan lemang pastinya tidak asing sebagai menu santapan bagi peminat juadah itu mahupun dihidangkan kepada tetamu.

Lari daripada kebiasaan penyediaan lemang, seorang pengusaha tampil kreatif dengan menyiapkan lemang meriam atau lemang gergasi untuk warga bandar raya ini dan sekitarnya sehinggakan mendapat permintaan tinggi walaupun pandemik COVID-19 sedang melanda.

Zainal Abidin Bakar, 55, berkata beliau menggunakan buluh sepanjang kira-kira 130 hingga 170 sentimeter (cm) sebanyak 30 hingga 50 batang bagi memikat pembeli di pasar tani dan bazar Ramadan di sekitar Ipoh dan Batu Gajah.

“Lemang ini dipanggil lemang meriam kerana panjang buluh yang digunakan. Kadang-kadang ada buluh yang panjangnya 170 cm sebab itu namanya lemang meriam. Ada juga yang panggil lemang gergasi,” katanya ketika ditemui Bernama ketika menyediakan lemang itu di Kampung Pasir Putih baru-baru ini.

Zainal Abidin berkata setiap minggu, beliau akan mengambil 500 batang buluh di perkampungan Orang Asli di Pos Raya, Simpang Pulai untuk memenuhi permintaan pelanggan di tiga bazar Ramadan iaitu di Medan Gopeng, Batu Gajah dan Stadium Perak.

Beliau yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini berkata setiap batang buluh itu akan diisi sekilogram beras pulut dan bagi memastikan lemang masak sepenuhnya, ia mengambil kira-kira satu hingga satu jam setengah selain menggunakan api yang besar untuk membakar lemang.

Jelasnya, cabaran menyediakan lemang gergasi ini antara lain ialah berkaitan aspek penjagaan api yang memerlukan pemerhatian rapi dari segi fizikal dan mental untuk menyiapkannya.

“Apabila buluh panjang, ia jadi berat dan susah untuk dipusingkan kerana sudah diisi beras pulut dan santan sehingga penuh. Selain itu, api yang besar juga akan buat panas kadang-kadang sampai sakit kepala.

“Kalau lemang pendek biasa itu api tidak sebesar buluh panjang ini. Mungkin sebab saya sudah terbiasa dengan api marak jadi tidaklah terasa sangat bahang api,” katanya.

Mengulas mengenai tempahan, beliau berkata rata-rata pelanggannya akan membuat pesanan lemang meriam bersama pakej rendang tok yang turut diusahakannya sekali, yang boleh dimakan sewaktu hari biasa, Ramadan mahupun Syawal tidak lama lagi.

“Sejak berniaga di pasar tani dan bazar Ramadan, jualan sentiasa memberangsangkan dan habis dibeli. Malah, tempahan untuk kegunaan Syawal kini mencecah 200 batang. Mungkin kerana panjang buluh itu menjadi tarikan kepada pembeli walaupun rasanya tetap sama dengan lemang bersaiz biasa,” katanya. – Bernama