Lelaki sanggup rentas daerah untuk bermadu kasih

Lelaki sanggup rentas daerah untuk bermadu kasih

Seorang lelaki sanggup merentas daerah demi bertemu kekasihnya sebelum pasangan berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Chain Ferry, Butterworth di sini tengah malam tadi.

Pasangan berusia 20-an itu dipercayai sedang berkhalwat semasa operasi oleh sepasukan polis kira-kira pukul 10 malam selepas menerima aduan orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, lelaki itu sanggup datang dari daerah Seberang Perai Tengah untuk bertemu wanita berkenaan.

“Oleh kerana kesalahan merentas daerah, lelaki itu dikompaun sebanyak RM5,000.

“Manakala kedua-dua mereka turut diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selama tiga jam bermula pukul 9 malam di beberapa lokasi, pihaknya mengeluarkan 14 kompaun bernilai RM42,000.

Sumber: Kosmo