Lelaki pelik anak-anak tak balas mesej, rupanya isteri muda ‘block’ takut duit suami habis

Lelaki pelik anak-anak tak balas mesej, rupanya isteri muda ‘block’ takut duit suami habis

 

Seorang Peguam Syarie, Amalina Adam menerusi satu perkongsian di Facebook menceritakan tentang kisah si isteri yang sanggup menyekat nombor telefon anak-anak suaminya bersama bekas isteri kerana tidak mahu mereka mengganggu rumah tangga.

Anak-anak dah tak hubunginya

Kisah bermula apabila lelaki berkenaan telah bercerai dalam tempoh dua tahun bersama bekas isterinya, namun dia tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak. Setiap bulan dia memasukkan wang sebanyak RM 600.00 ke dalam akaun bank bekas isteri.

Beberapa bulan selepas itu, si ayah berkahwin lain dan isteri barunya telah disahkan hamil empat bulan. Hendak dijadikan cerita, lelaki berkenaan mula rasa hairan kerana anak-anaknya sudah tidak menghubunginya lagi dan dia berfikir mungkin mereka sedang sibuk kerana belajar atas talian.

Si ayah pun cubalah menghantar sms kepada anak sulungnya yang berumur 14 tahun. Tetapi tiada balasan pun sms tersebut sehingga 15 minit menunggu.

Si ayah pun terus terlupa tentang balas sms tersebut sehinggalah dua tiga hari selepas itu barulah si ayah periksa semua sms yang dihantar kepada anak sulungnya. Hairan juga kenapa tidak dibalas.

Apabila lelaki berkenaan menghantar wang lagi ke akaun bekas isterinya, dia masih menunggu respon daripada anak-anaknya. Namun, mereka tidak mengucapkan terima kasih kepadanya seperti dulu.

Setelah itu, dia mengadu kepada isterinya mengenai perkara tersebut. Tetapi isterinya merajuk kerana merasa dia terlalu memikirkan soal anak-anaknya berbanding isterinya sendiri.

Bertambah hairanlah si ayah ini kenapa pula si isteri tidak mahu bercakap dengannya disebabkan luahannya tempoh hari sehingga berhari-hari dia menunjuk sikap dinginnya.

‘Kenapa ayah block kami?’

Ketika cuti panjang, si ayah membuat keputusan untuk berjumpa dengan anak-anaknya di rumah bekas isterinya. Kedatangannya disambut baik dan anak-anak mula bertanya kepadanya mengenai kenapa dia menyekat nombor telefon mereka.

Kenapa ayah block kami? Kami nak minta duit poket untuk beli ubat adik pun sukar. Penyakit kulit adik semakin teruk. Mak cakap ayah block kami semua.

Alangkah terkejutnya apabila dia mendengar apa yang dikatakan oleh anak-anaknya dan dia mula terfikir mengenai perubahan sikap isterinya yang dingin apabila mengadu tentang anak-anaknya di kampung. Tidak mahu memanjangkan cerita, si ayah memberi alasan bahawa telefonnya rosak dan baru sahaja elok.

Rupanya isteri block nombor anak-anak dan bekas isteri

Keesokan harinya, si suami pulang ke rumah dan terus meminta penjelasan daripada isterinya mengenai isu berkenaan. Si isteri terdiam seketika dan akhirnya mengaku yang dia telah menyekat nombor anak-anak serta bekas isterinya.

Ya, memang saya block nombor telefon anak-anak dan bekas isteri awak guna telefon awak sebab saya tidak mahu mereka mengganggu rumah tangga kita, tambahan pula saya hendak bersalin dan memerlukan wang yang banyak!

Saya tidak bekerja dan saya tidak mahu wang awak habis digunakan oleh mereka sahaja. Saya pun bakal ada anak, saya mahu anak saya hidup senang.

Lelaki berkenaan benar-benar tidak menyangka yang isterinya sanggup berbuat sebegitu semata-mata kerana wang nafkah anak dan mengharap isterinya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Ini tugas saya, saya perlu beri kesenangan terhadap kesemua anak-anak saya mengikut kemampuan saya. Saya tahu nak mencari wang di mana selagi saya boleh bekerja. Cara awak salah sebab awak boleh memutuskan hubungan saya dengan anak-anak.

Boleh timbul salah faham di sini! Tolong jangan ulangi kesalahan seperti ini lagi. Susah hidup kita nanti membelakangkan anak-anak!

Sumber: ohbulan & Peguam Syarie : Amalina Adam