Lelaki pecut Myvi hingga terbabas sebab takut ditangkap khalwat, tinggalkan kekasih dalam sungai

Lelaki pecut Myvi hingga terbabas sebab takut ditangkap khalwat, tinggalkan kekasih dalam sungai

 

Bimbang ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam kereta, sepasang kekasih melarikan diri dengan memecut kenderaan sejauh 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata dalam kejadian jam 9.30 malam, lelaki berusia 30 tahun memecut Perodua Myvi dinaiki bersama pasangannya, sejurus berselisih dengan kereta peronda (MPV Polis) yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Setibanya di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke sungai dan pemandunya melarikan diri dengan berenang ke seberang.

“Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah.

“Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun dalam kereta, namun mangsa tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, anggota peronda kemudian menghantar wanita itu ke rumah saudaranya di Telok Gong.

“Siasatan mendapati suspek disyaki melarikan diri kerana takut ditahan polis sebab disyaki berkhalwat dengan teman wanita yang baru dikenali dalam kereta.

“Kereta suspek terbabas sendiri dan tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan lain dan tiada tangkapan dan rampasan dibuat.

“Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.