Lelaki nyaris maut, Proton Wira Aeroback terbakar & meletup ketika isi minyak

Lelaki nyaris maut, Proton Wira Aeroback terbakar & meletup ketika isi minyak

 

Seorang pemandu kereta nyaris maut apabila tangki minyak kereta Proton Wira Aeroback miliknya terbakar dan meletup ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Repoh,di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berusia dalam lingkungan umur 40-an itu cedera selepas terkena serpihan cermin kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika lelaki itu mengisi minyak di salah sebuah pam.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba bahagian tangki meletup hingga mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar,” katanya.

Beliau menambah, kebakaran terbabit berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 4.25 petang selepas kerja pemadaman selama 15 minit.

Yusharifuddin memaklumkan, siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis mendapati punca cetusan api bermula dari bahagian tempat duduk hadapan penumpang kiri.

Menurut beliau, kebakaran disyaki berlaku akibat tindak balas telefon bimbit dengan wap petrol yang berada dalam kenderaan hingga tercetusnya percikan api awal di bahagian tersebut.

Katanya lagi, setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dalam kebakaran itu dan ia hanya kemalangan semata-mata.

Sementara itu, jurucakap JBPM Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 petang yang memaklumkan tentang kebakaran kenderaan di stesen minyak.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa jentera termasuklah jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS.

“Sebuah kereta musnah terbakar hampir 50 peratus dan pemiliknya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

“Kejadian letupan tersebut turut menyebabkan berlaku kerosakan di bahagian bumbung stesen minyak berkenaan,” katanya.

Susulan itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut.