Lelaki mengamuk di tengah Lebuhraya Utara Selatan lalok ganja

Lelaki mengamuk di tengah Lebuhraya Utara Selatan lalok ganja

 

Polis berkata, lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan keretanya di lorong kanan di kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar Ahad lalu, didapati positif dadah.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, warga tempatan berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur kelmarin selepas hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja.

“Suspek direman empat hari bermula semalam. Kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri hari ini bagi tujuan pendakwaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau halangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam).

Terdahulu, video selama 26 saat yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki memberhentikan keretanya dan berdiri di lorong kanan lebuh raya itu.

Lelaki itu kemudian dikatakan mengamuk sambil memegang rantai emas serta memanjat kereta berdekatan, selain menendang bahagian depan sebuah kereta yang melalui lebuh raya itu.