Lelaki maut terkena renjatan elektrik
Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja pembaikan di sebuah tiang elektrik di Kampung Sg Damar, Padang Tengku di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Nor berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa Mohd. Tahir Qalli Latif,32, bersama sepasukan pekerja TNB lain menjalankan kerja aduan pengguna bagi mengalih laluan talian yang kendur.
“Ketika kejadian mangsa sedang berada di tiang tersebut selepas memanjat menggunakan tangga manakala ketua pasukan pekerja itu bertindak membersihkan halangan pada talian tersebut.
“Kemudiannya mangsa didapati tergantung di tiang sebelum diturunkan oleh ketua pasukannya serta diberi rawatan awal dan bantuan pernafasan (CPR),”katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa yang dibawa ke Hospital Lipis disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Menurutnya berdasarkan laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan renjatan elektrik. – Kosmo