Lelaki maut selepas disuntik vaksin Covid-19

Lelaki maut selepas disuntik vaksin Covid-19

Pihak berkuasa Hong Kong sedang menyiasat kematian seorang lelaki menghidap penyakit kronik, dua hari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan masih terlalu awal untuk menyimpulkan sama ada pengambilan vaksin itu mempunyai kaitan dengan kematian lelaki tersebut.

Lapor agensi berita AP, lelaki itu meninggal dunia beberapa hari selepas Hong Kong memulakan kempen vaksinasi Covid-19 bagi golongan sasaran dan yang berisiko di bandar tersebut.

Pihak berkuasa kesihatan menerusi satu kenyataan memaklumkan lelaki berusia 63 tahun itu menerima suntikan vaksin pada 26 Februari lalu di sebuah pusat vaksinasi yang dikendalikan oleh kerajaan.

Jelas kenyataan tersebut, lelaki itu kemudian mengalami sesak nafas pada 28 Februari lalu.

Lelaki tersebut ke sebuah hospital untuk menerima rawatan namun meninggal dunia pada hari yang sama.

Kenyataan itu tidak menyatakan jenis vaksin diterima oleh lelaki tersebut.

Namun, kempen vaksinasi yang dilaksanakan di Hong Kong ketika ini hanya menggunakan vaksin Sinovac yang dihasilkan oleh syarikat biofarmaseutikal dari China.

Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong memaklumkan bahawa kematian lelaki itu sedang disiasat.

“Ketika ini, hubung kait antara kematian lelaki itu dengan vaksinasi tidak dapat ditentukan,” jelas kenyataan itu.

Pesakit itu mengalami penyakit kronik dan pernafasan, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Hospital Queen Elizabeth yang mana lelaki itu dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan selepas menerima vaksin.

Jelas pihak berkuasa, sebuah pasukan pakar akan menyiasat perkara itu dan keputusannya akan diumumkan segera.

UO ( https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/03/hong-kong-siasat-lelaki-maut-selepas-disuntik-vaksin/ )