Lelaki maut rempuh kereta

Lelaki maut rempuh kereta

Seorang penunggang motosikal meninggal dunia setelah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bukit Merah malam tadi di sini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 9.40 malam ketika mangsa, Mohd Izzul Farhan Mohd Nayan, 34, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR dari Tebuk Panchor menghala ke arah Lembah Beriah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang secara sendirian itu dipercayai telah hilang kawalan serta gagal mengawal motosikalnya sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa telah melanggar bahagian sebelah kanan kereta Perodua Bezza yang di pandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak ke tengah jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mazuki, mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Parit Buntar untuk tujuan bedah siasat dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Kosmo