Lelaki maut, kereta dirempuh lori dari arah bertentangan

Lelaki maut, kereta dirempuh lori dari arah bertentangan

Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Kilometer 80 Jalan Ipoh – Teluk Intan, Bidor dekat sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Tan Ann Chi, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi apabila sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 29 tahun sedang dalam perjalanan ke arah Ipoh.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan melanggar sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur.

“Dalam kemalangan ini pemandu kereta mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat yang dijadualkan petang ini.

Sehubungan itu, Wan Azharuddin berkata, polis akan menahan pemandu lori terlibat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AA