Lelaki maut, kenderaan dirempuh Toyota Hilux

Lelaki maut, kenderaan dirempuh Toyota Hilux

 

Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Kilometer 116, Jalan Ipoh-Butterworth, Batu 8 dekat sini kira-kira pukul 8.55 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa, G. Sasitaran, 29, yang bekerja sebagai pemandu lori memandu kereta jenis Inokom Kappa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bagan Serai menuju ke Parit Buntar.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa telah membuat pusingan U untuk berpatah balik semula ke arah Bagan Serai.

“Bagaimanapun, sebuah Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 57 tahun dari arah Parit Buntar ke Bagan Serai telah melanggar bahagian sebelah kiri kenderaan mangsa,” katanya, lapor Kosmo.

Menurut Mazuki, impak perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua buah kenderaan terjunam masuk ke dalam parit di bahu jalan sebelah kiri arah Bagan Serai.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu Hilux dan bapa mentuanya tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala isteri dan anak lelakinya mendapat kecederaan ringan,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.