Lelaki maut, dua rakan cedera MPV langgar belakang treler

Lelaki maut, dua rakan cedera MPV langgar belakang treler

Seorang lelaki warga Myanmar maut manakala dua rakannya cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 310.5 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, hari ini.

Mangsa, Kyauk Khae, 42, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 6.01 pagi.

Katanya, sebaik tiba dilokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Avanza dari arah yang sama

“Keadaan kereta remuk dibahagian hadapan manakala hanya terdapat kesan rempuhan di bahagian belakang lori trailer tersebut.

“Terdapat tiga orang mangsa warga Myanmar yang tersepit di dalam kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, anggota menggunakan ‘hydraulic spreader’ dan ‘telescopic ram’ bagi membantu kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis dan mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.04 pagi. – HM