Lelaki maut ditembak, 12 kelongsong peluru ditemui

Lelaki maut ditembak, 12 kelongsong peluru ditemui

 

Seorang lelaki yang dikehendaki polis atas pelbagai rekod jenayah, ditemui mati dengan kesan tembakan di kawasan parkir sebuah kondominium mewah di Jalan Baru di sini, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku jam 8.45 malam membabitkan mangsa, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 9.30 malam sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, polis menemui lelaki itu dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tingkat tiga parkir kondominium berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang lebih dua suspek bersenjatakan pistol.

“Buat masa ini kita tidak boleh beritahu berapa das tembakan terkena mangsa, namun pemeriksaan pihak forensik di lokasi menemui 12 kelongsong peluru,” katanya kepada media.

Shuhaily berkata, mangsa juga dipercayai menyewa di kondominium mewah itu sejak lima bulan lalu.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kejadian terbabit bermotifkan dendam, berikutan mangsa mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah.