Lelaki maut, 3 parah kemalangan empat kenderaan
Seorang maut manakala tiga lagi parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di KM263.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Alza, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.56 petang bagi operasi menyelamat.
Beliau berkata, nahas membabitkan empat mangsa yang mana seorang daripadanya disahkan maut di tempat kejadian manakala tiga yang lain parah.
“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun, manakala tiga yang parah masing-masing adalah dua lelaki serta seorang wanita yang juga berusia dalam lingkungan 40 tahun.
“Ketika tiba di lokasi kejadian hanya seorang mangsa iaitu lelaki yang menaiki Perodua Alza masih tersepit, sementara tiga mangsa lain sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – HM