Lelaki maut, 2 cedera, kereta terbabas langgar lori ayam

Lelaki maut, 2 cedera, kereta terbabas langgar lori ayam

Seorang lelaki maut manakala dua cedera selepas sebuah kereta terbabas lalu terlanggar sebuah lari ayam di Kilometer 178.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Aiman Mazman, 26, yang beralamat di Gombak, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.15 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Audi telah terbabas lalu melanggar sebuah lori membawa muatan ayam.

“Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu lagi, seorang penumpang kereta berusia 20-an mengalami kecederaan parah manakala pemandu lori berusia 30-an turut mengalami kecederaan.

Katanya, anggota bomba telah membantu merawat mangsa yang cedera dan diserahkan kepada pihak KKM manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fauziah Baharuddin tamat pada 5.16 petang. – SP