Lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

Lelaki mati mengejut di gelanggang badminton

 

Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang terbaring lengkap berpakaian sukan di sebuah gelanggang badminton di Taman Raja Idris di sini pada malam Khamis sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, tiada sebarang kesan unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Menurutnya, kejadian sekitar jam 8.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Lim Thian Meng, 47, bermain badminton bersama rakan lain.

“Temubual bersama rakan mengatakan, mangsa telah datang untuk bermain badminton di situ pada jam 6.30 petang.

“Sekitar 8.30 malam ketika bermain, mangsa dikatakan telah tunduk untuk mengambil bulu tangkis, namun terus rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak ambulans telah dihubungi dan petugas kesihatan yang hadir telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, polis dimaklumkan bahawa mangsa yang masih bujang itu mempunyai penyakit darah tinggi dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, siasatan lanjut dibuat selepas bedah siasat selesai,” katanya.

Kejadian berkenaan tular selepas beberapa keping gambar memperlihatkan tubuh mangsa terbaring di gelanggang dikongsi di media sosial.

COMMENTS