Lelaki lumpuh maut dalam kebakaran

Lelaki lumpuh maut dalam kebakaran

Seorang lelaki lumpuh maut dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Padang Tembak di sini semalam.

Mangsa, Ahmad Baser Razali berusia 50-an ditemukan rentung di atas katil manakala isterinya, Ngah Dimah Tamin berusia 60-an mengalami sesak nafas dan dirujuk ke Hospital Kampar untuk rawatan kecemasan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 11.48 malam.

Katanya, sepasukan 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dan Tapah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis kekal di mana api dalam keadaan marak.

“Anggota yang segera menjalankan kerja-kerja pemadaman mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran. Pemeriksaan yang dilakukan dalam sebuah rumah yang terbakar 90 peratus menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika dijumpai, mangsa yang merupakan pesakit lumpuh itu berada di atas katil berhampiran pintu hadapan rumahnya.

Katanya, mayat mangsa segera dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran itu turut memusnahkan dua buah rumah lain di mana masing-masing terbakar kira-kira 80 dan 40 peratus.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Forensik Kebakaran bagi mengenal pasti punca kebakaran dan nilai kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Sumber: Utusan