Lelaki Kelantan kena ‘reject’ dengan bakal mertua, bagi alasan bimbang anak cucu dapat keturunan pemalas

Lelaki Kelantan kena ‘reject’ dengan bakal mertua, bagi alasan bimbang anak cucu dapat keturunan pemalas

 

Pasangan yang bercinta pasti akan memohon restu daripada orang tua mereka setelah masing-masing bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Namun lain pula ceritanya melibatkan seorang pemuda yang ditolak mentah-mentah oleh bakal mentua hanya kerana dia berasal dari Kelantan.

Menerusi panggilan ke sebuah stesen radio, pemuda dikenali sebagai Wan itu mendedahkan hubungan cintanya musnah kerana sentimen kenegerian yang tidak masuk akal.

“Kisah saya dengan ex saya dulu, kami bercinta lima tahun lebih, dekat enam tahun. Daripada zaman universiti membawa ke zaman pekerjaan dua tahun, lepas tu kita dah boleh move to next step la kan.

“Saya nak jumpa keluarga dia, saya tak beritahu keluarga saya lagi. saya nak jumpa keluarga dia dulu, kita ni nak gentleman.

“Pergilah jumpa. Apabila dah sampai sana, dia (bakal mentua) macam tak beritahu direct, tapi saya rasa dia tak suka saya sebab saya ni berketurunan Pantai Timur dari Kelantan,” ujarnya.

Lebih menyakitkan hati, ibu bapa teman wanitanya turut meluahkan rasa bimbang sekiranya anak mereka ditakdirkan berkahwin dengan lelaki Kelantan yang dianggap pemalas.

“Dia cakap dia tak nak nanti anak cucu dia dapat keturunan pemalas, orang lelaki Kelantan ni kan pemalas. Dia tak reject direct tau, dia macam indirectly cakap kita ni pemalas.

“Nanti menyusahkan anak dia. Masa saya jumpa tu pun, anak dia dah kerja okey sikit daripada saya. Dia rasa macam saya ni nak menumpang anak dia,” dedahnya lagi.

Disebabkan pandangan serong itu, Wan berkata dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungan dan terpaksa berpisah dengan teman wanitanya.

“Apabila rasa vibe tak best, tak seronok, kita rasa tercabarlah sedikit. Saya direct cakap kalau keluarga awak tak suka disebabkan kita ni konon-konon pemalas, tak apalah sampai sini. Saya pun tak nak apabila dah kahwin nanti ia jadi lagi serius.

“Tak best hubungan tu. Keluarga dah ada persepsi macam tu. Kita berpisah secara baik tapi sampai sekarang hari-hari saya mendoakan dia akan dapat menantu yang betul-betul pemalas,” ujarnya lagi.

Di ruangan komen, ramai netizen turut meluahkan rasa berang dan berharap persepsi negatif terhadap rakyat Kelantan dapat dinoktahkan.

“Aku orang Kuala Lumpur, kahwin orang Kelantan. Ipar lelaki semua rajin, beli rumah besar-besar.

“Jangan pukul rata, semua negeri ada yang pemalas. Aku duduk Pulau Pinang pun ada yang pemalas.

“Pemalas atau tidak, itu individu, bukan sebab negeri,” tulis beberapa netizen pada perkongsian video itu di TikTok.