Lelaki kantoi seludup ular sawa dalam seluar

Lelaki kantoi seludup ular sawa dalam seluar

 

Seorang lelaki dari New York yang cuba menyeludup ular sawa melintasi sempadan Amerika Syarikat (AS) dengan menyimpan reptilia tersebut di dalam seluarnya telah didenda dalam satu perbicaraan baru-baru ini.

Memetik laporan CBS News, terdapat tiga ekor ular sawa Burma yang diangkut di dalam seluar yang dipakai lelaki berusia 38 tahun itu.

Suspek telah diletakkan dalam probation atau pemerhatian pihak berkuasa selama setahun dan didenda sebanyak RM23,885 atas sabitan kesalahan penyeludupan.

Difahamkan, lelaki itu berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun dengan jumlah denda sebanyak $250,000 (RM1,194,250) selepas suspek didakwa pada 2022.

Lelaki berasal dari Queens itu telah mengaku melakukan penyeludupan ular tersebut pada 2018. Dia telah menyeludup reptilia itu ketika menaiki sebuah bas yang merentasi sempadan AS-Kanada berdekatan Champlain, di utara New York.

Pegawai Perlindungan Sempadan dan Kastam telah menjumpai ular-ular berkenaan di dalam satu beg kecil yang terletak di dalam seluarnya.

Beg kecil yang memuatkan ular berkenaan terletak di pahanya dan ia disedari pihak berkuasa ketika sedang memeriksa pasport dan menjalankan pemeriksaan di sempadan.

Ular sawa Burma bukan spesies asal Amerika

Antara ular-ular di seluruh dunia, ular sawa Burma merupakan antara ular terbesar di dunia. Reptilia ini merupakan haiwan berasal dari Asia yang turut dianggap sebagai spesies terancam.

Namun begitu, sebahagian besar darinya telah wujud di Florida, selepas Taufan Andrew melanda pada tahun 1992.

Sejak itu, ia telah mendiami kawasan Florida Everglades dan beberapa kawasan lain. Ular ini serta beberapa haiwan pemangsa lain telah dianggap sebagai spesies invasif kerana mampu mengganggu keseimbangan ekosistem sedia ada.

Di Florida, ular sawa Burma boleh membesar dalam lingkungan enam hingga sembilan kaki panjang, menurut Suruhanjaya Konservasi Haiwan Liar dan Ikan.

Sungguhpun begitu, terdapat rekod yang menunjukkan bahawa reptlia ini boleh membesar sehingga mencapai kepanjangan kira-kira 18 kaki.