Lelaki jadi saksi pernikahan kali kedua bekas isteri raih pujian

Lelaki jadi saksi pernikahan kali kedua bekas isteri raih pujian

 

Perceraian tidak memutuskan persahabatan dua individu ini, buktinya bekas suami menjadi saksi pernikahan seorang wanita yang melangsungkan perkahwinan kali kedua bersama pilihan hatinya pada 30 Mei lalu.

Zaida Nerson yang menikahi Mohd Naim Amir Hasan mencipta memori tersendiri apabila bekas suaminya, Azroy Juli menjadi saksi pernikahan itu bersama dua anak mereka di Kampung Masjid, di sini.

Perkongsian video memaparkan memori itu di TikTok meraih tontonan ramai dan komen netizen yang memuji ketiga-tiga individu berkenaan serta menyifatkan mereka mempunyai hati yang baik serta berfikiran positif.

Berkongsi kisahnya, Zaida berkata, dia berpisah dengan bekas suami pada 2021 selepas 11 tahun berkahwin dan dikurniakan sepasang cahaya mata berusia sembilan dan 11 tahun yang kini di bawah jagaannya.

Menurutnya, meskipun ikatan pernikahan terlerai namun mereka masih mengekalkan hubungan baik sebagai rakan, malah mengakui sebelum berkahwin dia dan bekas suami adalah rakan baik dan saudara jauh serta tinggal sekampung.

“Kami berpisah dengan persetujuan dan cara baik serta tiada permusuhan demi dua anak lagipun kita sudah dewasa. Bekas suami menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap anak termasuk menghantar ke sekolah setiap hari,” katanya.

Katanya, ketika memaklumkan dirinya akan berkahwin, bekas suami turut berkongsi kegembiraan itu dan lelaki berkenaan memberitahu mahu menjadi saksi pernikahannya.

“Azroy menyatakan hasrat itu kepada suami. Ketika majlis berlangsung dia duduk di belakang suami dan situasi itu membuatkan ahli keluarga yang hadir di majlis itu sebak.

“Dua anak juga menerima kehadiran suami dengan baik, malah suami juga tiada masalah dengan Azroy.

“Alhamdulillah, suami saya tidak pernah melarang saya terus berhubung dengan Azroy asalkan saya tahu batas dan status sebagai isteri orang lagipun kami berhubung hanya berkaitan urusan anak saja,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Zaida berkata, video itu dirakam seorang individu pada majlis berkenaan dan dia kemudian berkongsi di TikTok sebagai kenangan tetapi tidak menyangka ia akan mendapat perhatian netizen.

Katanya, dia terharu dan menghargai sokongan serta doa daripada orang ramai untuk keluarganya dan Azroy.

“Kami sepakat dalam menguruskan anak dan saya juga tidak mahu anak bersedih. Kita semua sudah mempunyai kehidupan masing-masing dan sentiasa berfikiran positif, saya mahu yang baik-baik saja dan hidup juga akan tenang,” katanya.