Lelaki ini dedah riwayat politik Azmin Ali bakal berakhir

Lelaki ini dedah riwayat politik Azmin Ali bakal berakhir

 

SINAR gemerlapan bintang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam arena politik kian malap dan bakal berakhir tidak lama lagi, kata adik menteri kanan itu, Azwan Ali.

Azwan berkata, Mohamed Azmin perlu menyalahkan diri sendiri kerana tindak tanduknya telah memusnahkan karier politiknya sendiri.

“Kalau dulu Azmin Ali begitu gah nama dia. Bukan hanya sebagai Menteri Besar (Selangor), silap-silap bakal Perdana Menteri. Tapi itu dulu, sekarang zaman kau merudum Azmin Ali.

“Kau ibarat telur tembelang, kat luar nampak macam betul telur tapi bila dipecahkan telur itu sebusuk-busuknya, that is you,” katanya dalam temubual bersama Malaysian.

Bagaimanapun, Azwan yang dikenali sebagai Diva AA itu tidak menjelaskan apakah tindak tanduk yang merosakkan imej dan populariti Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

“Kau mungkin masih seorang menteri, tapi Diva AA pun dah buat ‘post mortem’ yang hakikatnya zaman Azmin Ali dah merudum sebab dia dah tak popular dah seperti jadi Menteri Besar Selangor dulu.

“Allah dah bagi kau macam-macam, maaflah kau tak jaga. Kau perasan, ingat kau hebat, lihatlah Allah maha melihat,” katanya.

Justeru, Azwan berharap rakyat dapat membuka mata pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk tidak lagi mengundi Mohamed Azmin sebagai wakil rakyat.

“Ini permintaan ikhlas Diva AA kepada seluruh rakyat Malaysia, kamu ada banyak pilihan untuk pilih pemimpin yang hebat pada PRU15 tapi tolonglah jangan Azmin Ali,” katanya.

Ditanya desas-desus mendakwa Mohamed Azmin mengintai untuk kembali ke pangkuan PKR, Azwan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR sepatutnya telah serik untuk dikhianati sekali lagi.

“Ada hati nak masuk PKR, lu siapa? Dan Bang Non (Anwar) tak payah menggelupur nak tunjuk baik sangatlah. Orang dan khianat kau macam tu, kau boleh menggelupur nak balik Azmin Ali,” katanya.