Lelaki hilang ketika mandi di Teluk Batik ditemukan lemas

Lelaki hilang ketika mandi di Teluk Batik ditemukan lemas
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Teluk Batik dekat sini awal pagi semalam, ditemui lemas petang tadi.

Mayat S. Sukamaran, 51, ditemui terapung oleh nelayan di perairan berhampiran sebuah jeti di Pulau Pangkor, kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, kira-kira pukul 2.20 petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Shuib Idris berkata, mayat mangsa dibawa dengan bot pasukan itu ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka khusus untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di pantai Teluk Batik.

Katanya, sebelum itu pasukan tersebut menerima maklumat orang ramai mengenai mangsa yang mandi di pantai peranginan itu, pada pukul 2.36 pagi semalam.

“Sebaik jentera bomba tiba di pantai itu pada pukul 2.46 pagi, didapati seorang mangsa belum diketahui bangsa dan umur telah lemas oleh saksi yang melihat mangsa meminta tolong di tengah laut.

“Polis menjumpai dompet dan juga telefon bimbit mangsa di darat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berikutan itu anggota membuat rondaan di pesisir pantai setiap 20 minit.

Beliau berkata, operasi bagaimanapun ditamatkan apabila menjelang malam semalam dan SAR diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluas sehingga ke radius 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, selain pencarian menggunakan bot, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut melakukan beberapa operasi menyelam di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, seramai 19 anggota bomba, 11 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta enam anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM) terlibat dalam operasi itu.

Beliau berkata, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.36 petang.

Berita penuh: https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/lelaki-mandi-di-teluk-batik-ditemui-lemas/