Lelaki hilang 2 hari ketika berjoging dakwa pengsan diketuk di kepala

Lelaki hilang 2 hari ketika berjoging dakwa pengsan diketuk di kepala

 

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dua hari semasa keluar berjoging, mendakwa pengsan selepas diketuk di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berusia 32 tahun itu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut keluar berjoging di satu kawasan perumahan di Anjung Bercham Indah, di sini, kira-kira jam 6.45 petang Selasa.

“Mangsa menyatakan bahawa semasa berjoging, telah pengsan akibat diketuk oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali dari belakang.

“Mangsa telah tersedar lebih kurang jam 3 pagi, pada 30 Mac lalu pulang ke rumah dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki dilaporkan hilang setelah keluar berjoging di satu kawasan perumahan, sejak 28 Mac lalu.

Yahaya berkata, mangsa mengadu mengalami sakit kepala dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan (cubaan samun).

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam yang melihat kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan IPD Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.