Lelaki ditemukan maut selepas suntik besarkan punggung

Lelaki ditemukan maut selepas suntik besarkan punggung

 

Lelaki berperwatakan lembut yang baru selesai mendapatkan perkhidmatan untuk membesarkan otot punggung ditemukan meninggal dunia di bilik sebuah hotel, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disedari tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil oleh rakannya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan mengambil suntikan untuk tujuan itu daripada seorang wanita yang juga peniaga kosmetik pada 10 pagi, hari sama.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa datang ke hotel berkenaan dengan ditemani rakannya.

Menurutnya, mangsa dikatakan membuat janji temu bersama wanita dari Melaka berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.

“Pada jam lebih kurang 12 tengah hari selepas selesai suntikan, mangsa meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat. Ketika itu mangsa ditemani rakannya manakala wanita terbabit keluar hotel untuk pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun pada jam 3 petang, wanita itu kembali semula ke hotel selepas dimaklumkan mangsa tidak bernafas dan tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan oleh pegawai kesihatan yang hadir ke lokasi dan mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan paru-paru bengkak dan berair. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.