Lelaki ditahan tipu urusan sewa rumah

Lelaki ditahan tipu urusan sewa rumah

Padah menipu urusan sewa rumah yang diiklankan melalui laman sosial, seorang lelaki ditahan polis di rumahnya di Pokok Assam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan selepas polis menerima satu laporan berhubung penipuan tersebut Khamis lalu.

“Mangsa hadir ke Balai Polis Pokok Assam Khamis lalu untuk membuat laporan selepas mengalami kerugian sebanyak RM1,550 selepas terpedaya dengan iklan yang diiklan suspek di media sosial.

“Siasatan mendapati suspek akan mengiklankan kekosongan rumah sewa sebelum meminta mangsa membayar sejumlah wang deposit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Osman, siasatan lanjut mendapati terdapat satu laporan menggunakan modus operandi sama di Kerian dan polis percaya dilakukan oleh suspek sama.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 11 Februari depan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – KO