Lelaki disyaki curi kabel ditahan

Lelaki disyaki curi kabel ditahan

Seorang lelaki yang pada mulanya ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan curi kabel, didapati turut memiliki sejumlah dadah ketika ditahan di hadapan sebuah hotel di Sitiawan, dekat sini awal pagi semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 2.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil risikan mengesyaki lelaki itu terlibat kegiatan mencuri kabel komunikasi di sekitar daerah Manjung lantas menahannya untuk disoal siasat.

Katanya, bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan pada lelaki itu, polis menemui pula 17 paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin dengan anggaran berat 35 gram (g) dalam poket kanan seluar dipakainya.

“Polis juga menemui dua plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu dan satu plastik lutsinar mengandungi tujuh tiub penyedut minuman berisi ketulan kristal juga disyaki syabu seberat 3.49g dalam beg sandangnya.

“Keseluruhan rampasan dadah yang ditemui pada suspek tersebut dianggarkan bernilai RM2,100,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Nor Omar, saringan awal air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Suspek juga memiliki beberapa rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Nor Omar menjelaskan, suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Kosmo