Lelaki diserang sawan & hilang kawalan, kereta dipandu langgar tiang hospital

Lelaki diserang sawan & hilang kawalan, kereta dipandu langgar tiang hospital

 

Seorang lelali dilapor diserang sawan ketika memandu menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku kira-kira 10.20 malam pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Saga 1.3 mengalami sawan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu pekerja syarikat pembekalan barang ortopedik hospital berusia 30 tahun itu hilang kawalan hingga terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray hospital berkenaan.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah, sementara rakannya, 28, dirawat di zon kuning akibat sakit dada,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Tambah Raiz, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut Sinar Harian lagi, pemandu yang diserang sawan itu beralamat di Seksyen 8, Shah Alam Selangor. Manakala rakannya beralamat di Kampung Batu Belah, Klang.

Terdahulu, satu video yang merakam detik-detik kejadian itu berlaku turut menjadi tular di media sosial menerusi kumpulan Facebook Anak-Anak Muar Official Group.

Video berkenaan kemudian mendapat respon yang pelbagai daripada warganet.