Lelaki dipercayai dibunuh ditemui

Lelaki dipercayai dibunuh ditemui

 

Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun maut dipercayai dibunuh di satu lokasi di Taman Silibin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata ini berikutan hasil bedah siasat menemui kesan tikaman pada dada mangsa.

Berikutan itu, katanya, tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes.

“Kami menerima maklumat pada jam 4.15 pagi daripada Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengenai seorang lelaki tempatan yang dibawa rakannya ke hospital sudah meninggal dunia akibat kecederaan.

“Menurut percakapan saksi, tempat kejadian adalah di satu lokasi di Taman Silibin di Ipoh,” katanya dalam kenyataan di sini, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Yahaya berkata, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki tempatan, S Alphonsus, 40, berasal dari Buntong, di sini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 017-4817800 atau Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (05-2542222) atau e-mel Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected], bagi membantu siasatan.