Lelaki dipercayai bunuh diri akibat tekanan kewangan, perniagaan terkesan

Lelaki dipercayai bunuh diri akibat tekanan kewangan, perniagaan terkesan

Seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang dilaporkan hilang ditemui mati dipercayai bunuh diri, lapor laman berita The Thaiger, semalam.

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah kereta yang diparkir berdekatan sebuah kolam ikan di Samut Prakan.

Wong Chen Hoe, 43, ditemui dalam kereta jenis Toyota Camry selepas pemilik kolam ikan tersebut kelmarin memeriksa kenderaan itu.

Menurut isteri mangsa, suaminya itu berdepan tekanan kewangan dan perniagaannya terkesan akibat Covid-19.

Dia pertama kali melihat kenderaan itu pada tengah hari Khamis lalu ketika enjin kereta itu masih hidup dan menyangka ahli perniagaan tersebut mungkin mahu berehat sebentar.

Kolam ikan itu yang terletak di belakang kuil Wat Pha Pichai menjadikan ia lokasi sesuai untuk berhenti tidur seketika.

Pemilik kolam bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan oleh penduduk sekitar bahawa kereta itu masih berada di lokasi sama keesokan harinya dengan enjinnya masih hidup.

Pemilik kolam itu kemudian mengetuk pintu kereta itu beberapa kali sebelum memanggil polis sekitar pukul 5 petang waktu tempatan.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa juga dilaporkan telah membuat laporan kehilangan Chen Hoe selepas isterinya gagal menghubungi lelaki itu.

Petugas kesihatan berkata mereka percaya lelaki itu telah meninggal dunia antara tujuh hingga lapan jam sebelum mayatnya ditemui.

Sumber: Kosmo