Lelaki dipenjara tujuh tahun, rogol kekasih bawah umur dikenali di TikTok

Lelaki dipenjara tujuh tahun, rogol kekasih bawah umur dikenali di TikTok

 

Seorang lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merogol remaja perempuan yang dikenali melalui TikTok sehingga mangsa melahirkan bayi bulan lalu.

Hakim, Darmafikri Abu Adam menjatuhi hukuman itu ke atas Muhammad Hazziq Ramdan, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan kepadanya.

Pemuda itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada pukul petang di sebuah pangsapuri dalam daerah Melaka Tengah akhir Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Hazziq didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang juga membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu mangsa membuat laporan polis berhubung perbuatan tertuduh yang memaksa anaknya membuat hubungan seks selepas berkenalan melalui TikTok.

Akibat kejadian itu, mangsa mengandung dan melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya pada pukul 12 tengah malam, 18 November lalu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Tertuduh ditangkap di Muar, Johor pada 23 November lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan dengan alasan dia telah insaf dan mahu menjaga mangsa serta bayi mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tujuh dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua hukuman itu diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 23 November lalu.