Lelaki didakwa lakukan amang seksual dua beradik

Lelaki didakwa lakukan amang seksual dua beradik

Seorang kakitangan pusat jagaan anak yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 100 pertuduhan membabitkan 34 kes melakukan amang seksual dan menunjukkan kemaluan melibatkan dua beradik lelaki yang juga penghuni pusat berkenaan, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Emeer Ahmad Ahmad Jaafar, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual dan menunjukkan kemaluan kepada dua beradik berumur 10 dan 13 tahun di beberapa lokasi berasingan di Ipoh dan Cameron Highlands, antara 1 November 2020 hingga 9 April 2021.

Dia juga didakwa dengan 98 pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dua tuduhan lagi, dia didakwa di bawah Seksyen 15 (a) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Robert S. Gnanarajan.

Sepanjang prosiding, selain dibantu pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), semua yang terlibat memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) kerana tertuduh baru selesai menjalani kuarantin pada 27 Mei lalu ekoran positif COVID-19.

Selesai prosiding, mahkamah serta kawasan sekitar yang menjadi laluan tertuduh turut disanitasi oleh pihak KKM.

Sumber: Astro Awani