Lelaki diberhentikan kerja kerana tolong tiga anak kucing jalanan

Lelaki diberhentikan kerja kerana tolong tiga anak kucing jalanan

 

Demi menyelamatkan tiga anak kucing jalanan, Muhammad Razif Daud mendakwa terpaksa membayar harganya apabila diberhentikan kerja sebagai eksekutif pemasaran oleh majikannya, kira-kira 12 tahun lalu.

Ia selepas anak kucing jalanan diselamatkan itu diletakkan di asrama pekerja hingga mengundang rasa kurang senang majikan berpunca daripada kurangnya pengetahuan Muhammad Razif, 40, dalam soal penjagaan haiwan berkenaan.

Muhammad Razif kemudian mencari rumah sewa untuk tinggal bersama kucing peliharaannya dan ditakdirkan, dia akhirnya menetap dengan seorang pencinta haiwan.

Rakan serumahnya itu mencadangkannya mencari rezeki sebagai tukang cuci rumah, namun dalam tempoh beberapa bulan, Muhammad Razif meneroka bidang baharu sebagai pengasuh haiwan, khususnya kucing yang menjadi sumber pendapatannya sejak 11 tahun lalu.

Bercerita lanjut, Muhammad Razif atau dikenali sebagai ‘Mr Maid’ yang kini menetap di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor berkata, sejak kecil dia sukakan haiwan terutama kucing, namun tidak pernah terfikir akan menjadi pengasuh haiwan itu.

“Kebetulan saya berkenalan dengan seorang doktor veterinar dan beliau yang cadangkan saya jadi pengasuh kucing kerana waktu itu, tidak ramai yang buat kerja berkenaan.

“Saya tak yakin, namun doktor berkenaan bantu saya dengan carikan lima pelanggan. Syukur kerana ada pelanggan terus ikat kontrak dengan saya selama dua tahun.

“Khidmat saya tawarkan mengikut pakej dengan yang asas adalah beri makan, minum dan bersihkan tempat kucing selain perkhidmatan merawat, bergantung kepada keadaan kucing itu.

“Caj dikenakan serendah RM50 hingga RM300, bergantung kepada jenis perkhidmatan diperlukan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Razif, selain menambah ilmu dengan membaca buku, majalah dan menonton video di Youtube, dia juga mengikuti kursus bagi mempelajari teknik betul sehingga mendapat sijil pengendalian haiwan.

Katanya, sijil itu ternyata ‘laku’ kerana membantunya meyakinkan pelanggan untuk menggunakan khidmatnya.

“Luarannya nampak kerja saya macam mudah, namun sukar sebenarnya. Ia terutama pada peringkat awal kerana ada individu persoalkan siapa saya yang mahu masuk ke rumah mereka ketika mendekati mereka untuk tawarkan khidmat sebagai pengasuh kucing.

“Sampai satu tahap, saya hampir putus asa, tetapi kata-kata negatif diterima itu akhirnya mendorong saya untuk bangkit dan buktikan kerjaya pengasuh kucing juga boleh datangkan hasil,” katanya.

Hasil usaha dan kerja keras, anak keempat daripada enam beradik itu dapat meraih kepercayaan pelanggan.

Bagaimanapun, Muhammad Razif berkata, selain pendapatan lumayan, dia juga puas dapat menjinakkan kucing yang bukan peliharaannya.

“Kerjaya ini sebenarnya menuntut saya untuk memahami karakter kucing kerana setiap satunya berbeza.

“Lazimnya, penjaga kucing akan terangkan dulu bagaimana karakter haiwan kesayangan mereka.

“Bila individu terbabit katakan kucing itu tidak boleh disentuh kerana hanya mahu dengan mereka, saya akan cuba cari jalan bagaimana mahu jinakkannya.

“Saya bersyukur kerana khidmat ditawarkan mendapat kepercayaan ramai pelanggan termasuk dalam kalangan selebriti dan kenamaan,” katanya.

Ditanya berkaitan hala tuju, Muhammad Razif merancang untuk meluaskan perkhidmatannya supaya lebih dikenali.

Menurut Muhammad Razif, dia mahu kerjaya pengasuh haiwan dipandang profesional dan bukan picisan seperti persepsi segelintir individu.