Lelaki dakwa susah cari makanan ‘halalan toyyiban’ di Sabah, gula & garam dianggap sihir?

Lelaki dakwa susah cari makanan ‘halalan toyyiban’ di Sabah, gula & garam dianggap sihir?

 

Tular sebuah video memaparkan seorang lelaki berperwatakkan alim dan memakai serban mendakwa sukar mencari makanan halal di Sabah.

Menerusi satu perkongsian di X, @PiaPinah_MH memuat naik video itu menunjukkan lelaki tersebut menyatakan sukar untuk mencari makanan ‘halalan toyyiban’ terutama di kedai-kedai makan.

Menerusi rakaman berdurasi dua minit 20 saat itu, lelaki berkenaan sekali gus menyarankan kepada orang ramai untuk memasak sendiri di rumah sebagai alternatif.

“Sebenarnya nak cari makanan yang ‘halalan toyyiban’ ni bukan mudah tau. Memang sangat susah untuk mencari makanan yang ‘halalan toyyiba’ terutama dekat kedai-kedai.

“Jadi sebab tu, memang saya mengalakkan orang ramai untuk makan di rumah, masak sendiri pun takpe,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pekerja di kedai makan tidak menjaga solat dan tidak menutup aurat menyebabkan makanan yang mereka sediakan tidak ‘halalan toyyiban’.

“Pertama sekali, ramai pekerja yang tak jaga solat dan kebanyakannya juga membuka aurat. 

“Selain tu, kebanyakan daripada mereka ini menggunakan produk-produk yang bukan ‘halalan toyyiba’.

“Ataupun ada yang tanda halal tapi bila nak pergi ke arah toyyiba tu, Allahuakbar, mereka menggunakan produk-produk yang dikilangkan daripada kilang bukan muslim,” ujarnya.

Malahan, dia juga memetik nama negeri Sabah sebagai contoh antara negeri yang sukar bagi mencari makanan ‘halalan toyyiban’.

“Aku dekat Sabah ni, uish! Susah tahu tak nak cari makanan, sangat susah. Kalau korang nak pergi makan ke apa kan, memang susah,” katanya.

Lelaki itu turut mendakwa bahan penambah rasa seperti gula putih dan garam halus yang digunakan dalam masakan di Sabah merupakan racun dan sihir.

“Mereka menggunakan gula putih dan garam halus sebab ini adalah racun dan sihir. Sebab apa? Sebab dia menggunakan teknologi.

“Gula putih dan garam halus ini yang membuatkan kita hari ini berpenyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan macam-macam lagi,” dakwanya.

Menjengah ke ruangan komen pada perkongsian @PiaPinah_MH, rata-rata netizen menyatakan rasa kurang setuju berhubung kenyataan lelaki terbabit.

Dalam pada itu, ada juga segelintir warganet meninggalkan komen buat rakan berlainan agama bahawa Islam bukanlah agama yang sukar seperti didakwa oleh lelaki berkenaan.

Menerusi tinjauan, pada asalnya video tersebut dimuat naik oleh individu bernama Saad di laman TikToknya yang menggunakan nama @saadabiwaqas7.

@saadabiwaqas7

Susah Nak Cari Makanan Yang Halalan Toyyiba Di Sabah. #fyp #fypp #videoviral #foryoupage #dakwah #foryou #viral #sensitivity #pilihanyangterbaik #tiktokmalaysia #tiktokindonesia #kebenaran #videoviralitiktok #makanan #makananviral #makananviraltiktok

♬ Rain of Tears – Steve Ralph

Menjengah ke ruangan komen pada perkongsian Saad, ramai netizen terutama warga Sabah menegur lelaki terbabit kerana sebenarnya banyak hidangan di  Sabah yang halal.

Tidak kurang juga komen daripada warganet yang mempersoalkan tindakan lelaki itu mengatakan sukar mencari makanan ‘halalan toyyiba’ di Sabah.

Tidak baik sebenarnya keluarkan kenyataan macam ini, bukan sahaja menyinggung perasaan warga negeri itu, tetapi juga memburukkan nama agama Islam yang sebenarnya satu agama mudah.