Lelaki ceroboh rumah Aeril Zafrel & Wawa Zainal rupanya tak normal, wanita tampil dedah cerita sebenar

Lelaki ceroboh rumah Aeril Zafrel & Wawa Zainal rupanya tak normal, wanita tampil dedah cerita sebenar

 

Lelaki yang menyelinap masuk ke rumah pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal disahkan sebagai individu tidak ‘normal’.

Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 32, menjelaskan ibu lelaki berkenaan tampil berjumpa mereka menceritakan perkara sebenar selepas mereka memuat naik rakaman litar tertutup (CCTV) di Instagram.

“Selepas kongsi di Instagram kami terima banyak DM dan ada seorang wanita ini memberitahu mahu berjumpa kami kerana individu tersebut adalah anaknya.

“Wanita itu menjelaskan keadaan sebenar anaknya yang tidak normal dan sudah menasihatkan agar tidak lagi melakukan perbuatan serupa selepas ini,” katanya.

Wawa menjelaskan perkara itu menerusi temu bual bersama program hiburan Melodi yang disiarkan pada Ahad.

Susulan itu kata Wawa, mereka bertindak menurunkan semula video memaparkan wajah lelaki berkenaan yang sebelum ini dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Aeril atau Suhairil Sunari, 36, menganggap kejadian lelaki tersebut menyelinap masuk ke rumah mereka sebagai satu hikmah.

Ini kerana kata Aeril, selepas kejadian mereka memeriksa keseluruhan rumah dan menjumpai benda pelik dipercayai sihir pemisah yang dihantar seseorang.

“Ada hikmah juga perkara itu berlaku. Saya periksa kawasan rumah saya dan menjumpai ‘benda’ itu.

“Saya bimbang melihat keadaan lelaki itu sebab mungkin ada orang lain suruh dia buat kerja tersebut.

“Tapi apa yang saya jumpa itu memang benda asing apabila rujuk kepada orang lebih arif, mereka kata ia sihir pemisah,” jelasnya.

Jumaat lalu, Aeril dan Wawa meminta bantuan orang ramai menjejaki seorang lelaki dipercayai menghantar ‘barang sihir’ ke rumah mereka.

Aeril memberitahu dia juga sudah membuat laporan polis selepas dia menemui batang pinang serta kulit limau yang dibakar di halaman rumahnya dua minggu lalu.