Lelaki bogel mengamuk pegang parang ditahan polis

Lelaki bogel mengamuk pegang parang ditahan polis

Seorang lelaki yang berbogel serta mengamuk menggunakan sebilah parang berjaya ditahan polis dalam kejadian berhampiran Rumah Hijau di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.54 petang itu, lelaki berusia 43 tahun yang mempunyai penyakit mental itu dilihat berbogel dan mengamuk dengan sebilah parang di tangan tanpa diketahui puncanya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian tersebut.

“Tiba di lokasi, anggota mendapati lelaki yang tidak berpakaian itu memegang sesuatu yang dibungkus dengan kain di tangannya.

“Ketika sedang dipujuk untuk memakai seluar, lelaki berkenaan bertindak membuka balutan kain dan menunjukkan sebilah parang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.

Tambah Osman, selepas 15 minit dipujuk, anggota akhirnya berjaya menahan lelaki itu dan dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Baru Sungai Tinggi, Trong itu pernah menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dan dia dipercayai bertindak demikian selepas tidak mengambil ubat penenang.

“Tiada sebarang kecederaan kepada orang awam atau anggota dalam kejadian tersebut dan suspek kini di tempatkan ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KO