Lelaki berdepan hukuman mati

Lelaki berdepan hukuman mati

Seorang pembekal sayur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.

R. Chandran, 34, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh R. S. Ragu, 29, di hadapan kedai kosong di Hala Kristal 1, Taman Desa Maju dekat Langkap antara pukul 6 hingga 6.50 petang, 13 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Chandran juga didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Kiran, 19, menggunakan senjata iaitu sebilah parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada S. Saravanan, 26, menggunakan senjata iaitu sebilah parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Hakim menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan dengan lengan tangan kanan hampir putus di dalam semak di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap.

Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada pukul 9 malam.

Sumber: Utusan