Lelaki ini beli rumah di Jepun harga RM820k, dakwa tawaran lebih berbaloi berbanding beli di Malaysia
Lelaki ini beli rumah di Jepun harga RM820k, dakwa tawaran lebih berbaloi berbanding beli di Malaysia
Dalam satu perbualan santai, seorang warga Malaysia menceritakan bagaimana dia berjaya mencapai impian beli sebuah rumah di negara matahari terbit, Jepun.
“Kenapa saya beli rumah di Jepun? Sebab saya cinta Jepun lebih daripada apa-apa, lebih daripada Malaysia,” katanya sambil tersenyum.
Menurut ciapan video yang dimuat naik oleh @facktura, rumah ini terletak di Totsuka-ku, Yokohama, hanya beberapa perhentian dari Stesen Yokohama.
Berkeluasan 100 meter persegi ruang kediaman di atas tanah berkeluasan 173 meter persegi, rumah ini mempunyai ruang yang cukup besar untuk keluarga kecil.
Rumah ini dibeli dengan harga ¥28 juta (sekitar RM820,000).
Menurutnya, harga tersebut adalah satu tawaran yang sangat berbaloi, memandangkan ruang rumah yang besar dan lokasi yang strategik.
Dibina pada tahun 1997, rumah ini telah dilengkapi dengan perabot dan barang-barang yang ditinggalkan oleh pemilik sebelumnya.
“Saya baru sahaja menyelesaikan perjanjian hari ini, tetapi kontraknya telah ditandatangani dua bulan lepas. Pemilik lama tinggalkan semua barang-barang ini kepada saya, jadi saya tak perlu risau untuk memulakan hidup baru di sini,” tambahnya.
Rumah ini mempunyai ruang tamu yang luas, dapur, bilik tatami tradisional Jepun, tiga bilik tidur, dua tandas, dan satu bilik mandi.
Salah satu bilik tidur dirancang untuk diubah menjadi bilik permainan video, sesuai dengan kerjayanya sebagai YouTuber permainan video yang berjaya dengan 1.6 juta pengikut di saluran YouTubenya.
Ketika ditanya apa yang membuatkan dia memilih untuk menetap di Jepun, dia menjelaskan rasa cintanya terhadap budaya dan gaya hidup negara itu.
Tambahan pula, menurutnya, harga rumah di Jepun boleh menjadi sangat kompetitif jika dibandingkan dengan Malaysia, terutama jika mengambil kira lokasi dan saiz rumah.
“Dengan RM900,000 di Malaysia, anda mungkin boleh dapat rumah seperti ini juga, tetapi ruangnya lebih kecil. Jadi, saya rasa ini adalah satu keputusan yang baik,” katanya.