Lelaki baring atas jalan raya sedang diburu polis

Lelaki baring atas jalan raya sedang diburu polis

 

Polis sedang mengesan lelaki yang berbaring di jalan berhampiran stesen minyak Petronas Gunung Lang dekat Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, Perak seperti video yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata polis mengesan rakaman video kejadian itu dimuat naik di Twitter pada jam 4.30 petang kelmarin.

Beliau berkata, setakat ini polis belum mengetahui masa dan tarikh kejadian itu.

“Satu laporan polis sudah dibuat dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan atas kesalahan bahaya atau halangan di jalan awam.

“Kita sedang mengesan individu terbabit dan kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, Perak berdasarkan rakaman yang tular,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan lelaki itu diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat itu tular di media sosial dengan memaparkan seorang lelaki sambil memegang topi keledar melintas jalan sebelum dilihat merebahkan badan di atas jalan ketika laluan di situ sibuk dengan kenderaan.

Bagaimanapun, semakan BH di Twitter mendapati hantaran video berkenaan sudah dipadamkan.