Lelaki 55 tahun diugut sebar gambar bogel, video aksi lucah

Lelaki 55 tahun diugut sebar gambar bogel, video aksi lucah

 

Perkenalan singkat di aplikasi WhatsApp menjerat seorang pengurus kilang apabila diugut dua individu yang mahu menyebarkan gambar dan video bogelnya di laman sosial, minggu lalu.

Lelaki berusia 55 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita dikenali sebagai Lulu yang mahu berkenalan dengannya pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam tempoh lima hari itu, mangsa membuat panggilan video dengan menunjukkan tubuh tanpa mukanya.

“Bermula daripada itu, mangsa beberapa kali menerima ugutan daripada suspek yang meminta wang dengan alasan bayaran untuk padamkan gambar tersebut.

“Suspek kedua muncul yang memperkenalkan diri sebagai bos wanita terbabit turut mengugut perkara yang sama menyebabkan mangsa menurut kerana bimbang gambar dan videonya tersebar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM33,516 menerusi enam transaksi perbankan dalam talian.

Tambahnya, mangsa menyedari ditipu apabila suspek kedua memaklumkan transaksi terakhir tidak berjaya dan laporan polis dibuat pada Isnin.

“Mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek wanita kerana perbualan dibuat melalui panggilan video tanpa muka dan panggilan suara sahaja.

“Siasatan mendapati suspek memperdaya mangsa untuk membuat panggilan video melalui WhatsApp dan melakukan aksi lucah sambil merakam perbuatan tersebut,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.