Leftenan Muda Chan Ming Youn satu-satunya penuntut berbangsa Cina tamat latihan Komando GGK

Leftenan Muda Chan Ming Youn satu-satunya penuntut berbangsa Cina tamat latihan Komando GGK

 

Tular di laman sosial apabila Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi satu-satunya lelaki berbangsa Cina yang berjaya tamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) selepas 12 minggu harungi pelbagai peringkat latihan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Berita Tentera Darat Malaysia, Lt M Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata asbab dia menceburi bidang ketenteraan adalah disebabkan minat mendalam dan mahu berkhidmat untuk negara tercinta.

Berjaya tamatkan Kursus Asas Komando

“Saya Leftenan Muda Chan Ming Youn, berasal dari Kuala Lumpur, umur saya 25 tahun. Saya mempunyai ijazah sarjana muda dalam jurusan perakaunan.

“Sebenarnya saya adalah anggota 515 askar wataniah, saya tak ada pengetahuan pun tentang komando ni. Saya mula berkhidmat dalam 515 askar wataniah ni di situlah saya menceburi dalam ketenteraan ini.

“Saya dapatlah sikit ilmu, pengalaman, pengetahuan tentang dunia ketenteraan. Lepas itu saya kenal dengan komando, jadi saya cabar diri saya untuk masuk komando dan tunjukkan diri saya bahawa walaupun saya berasal askar wataniah, saya pun boleh jadi komando,” katanya.

Dalam pada itu, Chan memberitahu akan terus komited berkhidmat untuk negara dan berharap dapat menjadi seorang komando yang berkualiti demi rakyat dan tanah air.

“Matlamat saya adalah teruskan berkhidmat dalam komando ni untuk menambahkan pengetahuan dalam kursus-kursus kepakaran. 

“Saya harap saya dapat jadi seorang komando yang berkualiti, sentiasa menjaga nama baik komando sampai akhir hayat saya, ujarnya lagi.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah buat Chan yang berjaya menghabiskan latihan sukar komando dengan jayanya.

Bukan itu sahaja, kejayaan Chan menjadi penyuntik semangat serta inspirasi buat generasi muda untuk tidak berputus asa dan terus kuat dalam mengejar impian masing-masing.

Sekadar info, seramai 69 Penuntut Kursus Asas Komando Dianugerahkan Beret Hijau dan ia telah disampaikan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah.

Malah, beliau mengingatkan agar sentiasa menjaga keagungan beret hijau sebagai sebuah imej Special Forces Operators yang profesional dan kompeten kerana ianya merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.