Lebih 50 tapak geologi dikaji untuk penentuan status Geopark Lembah Lenggong

Lebih 50 tapak geologi dikaji untuk penentuan status Geopark Lembah Lenggong

Lebih 50 tapak geologi di Lenggong dikaji untuk diperakukan sebagai Geopark Lembah Lenggong sekali gus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

Kajian sedang dilakukan sebelum pengiktirafan diberi kepada Geopark Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan kedua di Perak, selepas Geopark Lembah Kinta.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan kajian itu, terdapat beberapa geotapak yang lebih bernilai berbanding yang terdapat di Langkawi.

Pelbagai tarikan alam sedia menanti di kawasan ini yang mampu mewarnai dunia pelancongan akan datang. – Foto: JMG

Formasi batuan yang menentukan usia kejadian ratusan tahun di Lenggong. – Foto: JMG

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa nilai yang ada di Lenggong ini begitu tinggi. Umpamanya, Gunung Pulut di Lenggong ini yang usianya menyamai apa yang ada di Gunung Mat Chincang di Langkawi, usianya lebih daripada 500 juta tahun.

“Itu salah satu daripada geotapak yang sedang dinilai. Jika pengiktirafan ini diberi, maka ia akan membolehkan kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” ujar Shamsul Anuar.

Formasi batuan unik yang terdapat di sekitar kawasan Lenggong. – Foto: JMG

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 di Kampung Kelantan, Lenggong pada Sabtu.

Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan tahun ini sebelum diisytiharkan sebagai Geopark Global pada 2025.

Gambar arkib seaktu kajian di salah sebuah tapak sekitar kawasan Lembah Lenggong. – Foto: JMG

Menurut Shamsul Anuar, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad akan melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan Galeri Geopark Lembah Lenggong minggu hadapan.

Pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya Geopark Global akan memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi di Lenggong, khususnya sektor pelancongan, sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat tempatan. – AA