Lebih 4,000 kilang di Perak diperiksa sejak 1 Jun

Lebih 4,000 kilang di Perak diperiksa sejak 1 Jun

Sebanyak 4,055 buah kilang di negeri ini telah diperiksa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 16 kompaun dikeluarkan ke atas pemilik premis atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, tiga buah kilang masing-masing dua di Tapah dan satu di Batu Gajah pula di arah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sejak awal Jun lalu, kita telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di kawasan kilang dan perindustrian di negeri ini.

“Daripada 4,055 buah kilang diperiksa sebanyak 16 kompaun dikeluarkan termasuk tiga buah kilang lagi diarah tutup,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Op Bersepadu Pemeriksaan SOP PKP di sini hari ini.

Dalam operasi tersebut sebanyak 20 buah kilang di Ipoh, Batu Gajah dan Kampar diperiksa bersama agensi penguatkuasaan lain.

Sumber: Kosmo