Layakkah Perak FC menyertai pertandingan anjuran MFL pada tahun 2022?

Pihak Unit Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan lawatan pentadbiran ke pasukan Perak FC dari 5 hingga 7 April 2021 dan disusuli dengan lawatan ke Selangor FC dari 13 hingga 15 April 2021.
Ketika lawatan ke Perak FC di pejabat pengurusan kelab di Menara SSI, Ipoh, taklimat dan penerangan berkenaan dengan Peraturan Pelesenan Kelab 2021 diberikan secara terperinci oleh kerana pasukan Perak FC mengalami peralihan pucuk pimpinan dan pengurusan kelab yang baharu.
Sesi taklimat ini amat penting bagi proses penyediaan dokumen untuk dimuatnaik ke dalam sistem pelesenan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi semua enam kriteria.
Selain itu, Perak FC juga telah melalui proses pemisahan sepenuhnya dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Perak dari segi pentadbiran dan juga pejabat operasi.
Dalam masa tiga hari yang diperuntukan, Perak FC berjaya mengemukakan 44 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan.
Bagi lawatan ke Selangor FC di pejabat pengurusan di Kompleks Sukan SUK Shah Alam, pihak Unit Pelesenan Kelab MFL telah menyampaikan maklumat-maklumat yang terkini berkenaan dengan Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2021 bagi memastikan segala dokumen yang akan dimuatnaik ke dalam sistem adalah mengikut keperluan format yang telah ditetapkan.
Selangor FC telah berjaya mengemukakan 37 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan selepas tiga hari lawatan yang diadakan.
Pasukan Perak FC dan Selangor FC telah memohon lesen kebangsaan dan AFC bagi penyertaan pertandingan anjuran MFL dan AFC sekiranya layak pada tahun 2022.
MFL mengucapkan selamat maju jaya kepada Perak FC dan Selangor FC dalam melengkapkan baki dokumen-dokumen untuk Kitaran Pelesenan Kelab pada tahun ini. – MFL