Lapan tahun terbiar, lapangan terbang Pangkor kembali beroperasi

Lapan tahun terbiar, lapangan terbang Pangkor kembali beroperasi

 

Selepas kira-kira lapan tahun tidak digunakan, Lapangan Terbang Pangkor kembali beroperasi menerusi penerbangan syarikat penerbangan komersial tempatan terbaharu, SKS Airways Sdn. Bhd. (SKS Airways).

Syarikat itu melakukan penerbangan rasmi hari ini dan menjadi syarikat komersial tunggal yang menerbangkan pelancong dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, ke pulau peranginan itu setiap hari bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin penerbangan itu mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di pulau bebas cukai tersebut.

“Penerbangan ini hanya mengambil masa 45 minit sekali gus dapat menjimatkan kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan jalan darat dan tidak perlu berbaris panjang di jeti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan penerbangan tersebut di Lapangan Terbang Pangkor hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Zolkafly Harun; Pengerusi Malaysia Airports Berhad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad.

Sebelum ini, sebuah syarikat penerbangan tempatan pernah mengendalikan penerbangan terus dari LTSAAS ke pulau itu.

Bagaimanapun syarikat itu terpaksa menghentikan operasinya tidak lama kemudian apabila kurang mendapat sambutan, sebelum lapangan terbang itu berhenti beroperasi pada Februari 2014.

Menurut Saarani, kerajaan negeri akan berusaha memastikan kegagalan penerbangan sebelum ini tidak berulang kembali termasuk meminta Tourism Perak melakukan promosi lebih agresif mengenai Pulau Pangkor dan kaedah pengangkutan terbaru ke pulau tersebut.

Beliau juga memaklumkan seramai 134,808 pelancong direkodkan datang ke Pulau Pangkor sepanjang bulan lalu, meningkat 39,294 orang berbanding 95,514 pelancong pada November lalu, dan peningkatan hampir 60 peratus berbanding 52,487 pelancong yang datang pada Oktober lalu.

Saarani memberitahu, beberapa kemudahan awam seperti tandas dan surau juga telah siap dibina di Pantai Teluk Nipah serta tambahan ruang menunggu di Jeti Pulau Pangkor.

Menurut beliau, kemudahan terbaru yang dalam pembinaan pula ialah Bazar Perniagaan di Teluk Nipah serta Arena Square dan restoran terapung di Teluk Baharu.

“Semua ini dilakukan sebagai mempersiapkan Pulau Pangkor untuk menerima kehadiran pelancong dalam jumlah yang besar,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Rohman, SKS Airways menggunakan pesawat Twin Otter yang boleh membawa 19 penumpang dengan tawaran tambang tetap bermula RM160 sehala.

Beliau yakin dengan potensi penerbangan itu berdasarkan kelebihan Pulau Pangkor yang memiliki pantai-pantai dan laut yang cantik, terlindung daripada cuaca buruk disebabkan angin monsun dan status pulau bebas cukai, manakala penerbangan itu pula menjanjikan pemandangan indah dari udara kerana terbang pada paras 10,000 kaki (3,000 meter) dari daratan.

“Selain Pulau Pangkor, kami juga akan memulakan penerbangan harian terus dari LTSAAS ke Pulau Redang mulai 31 Januari ini serta ke Pulau Tioman pada suku kedua tahun ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Zambry berkata MAHB sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri cadangan untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor daripada 732 meter sekarang kepada 1.5 kilometer agar pesawat lebih besar yang boleh membawa sehingga 70 penumpang dapat mendarat di situ.

Jelas beliau, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan itu bagi meningkatkan lagi potensi pelancongan di pulau tersebut.