LAP diminta selesaikan masalah bekalan air terputus tiba-tiba
Penduduk di Taman Ipoh Timor di sini, gesa Lembaga Air Perak (LAP) menyelesaikan masalah bekalan air terputus secara tiba-tiba di tiga kawasan di situ yang sudah berlanjutan hampir setahun lalu.
Penduduk, Thomas Wong, 58, berkata, dia yang sudah 28 tahun tinggal di kawasan berdepan kesukaran apabila bekalan air terputus sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali sebulan.
“Sejak kebelakangan ini, penduduk berdepan masalah bekalan air terputus secara tiba-tiba dan terbaru paling teruk satu hari tiada air langsung.
“Situasi ini sangat menyukarkan kami hendak membuat kerja harian kerana terlalu kerap tiada air,” katanya ketika ditemui di taman berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya hanya dimaklumkan oleh LAP bahawa ketiadaan air berkenaan berpunca dari saluran bahagian bawah tanah yang pecah.
Katanya, apa yang boleh dilakukan hanyalah menggunakan air dalam tangki simpanan sebagai jalan penyelesaian jangka pendek apabila berdepan dengan masalah itu.
Seorang lagi penduduk, Cheong Kok Hong, 61, pula berkata, pihaknya sudah membuat aduan tetapi isu itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian kerana masalah tetap berulang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning Jenny Choy Tsi Jen berkata, sekurang-kurangnya terdapat sekali atau dua kali bekalan air terputus tanpa sebarang pemberitahuan.
“Bekalan air terputus secara tiba-tiba di tiga kawasan iaitu di Laluan Perajurit, Lintasan Perajurit dan Lebuh Perajurit sejak tahun lalu, malah pernah juga sekali bekalan air terputus melebihi 12 jam,” katanya ketika meninjau taman berkenaan di sini.
Tsi Jen berkata, pada tahun ini pula penduduk di Taman Perak dan Taman Kaya turut berdepan masalah sama apabila bekalan air terputus secara tiba-tiba.
“Pihak LAP seharusnya memandang serius menangani isu ini kerana ia membawa kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.
“Kita sudah berhubung dengan pihak LAP agar perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya.
Sumber: Harian Metro