Lans Koperal tidak mengaku subahat dengan isteri buat tuntutan gaji palsu

Lans Koperal tidak mengaku subahat dengan isteri buat tuntutan gaji palsu

Seorang lans koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 25 pertuduhan bersubahat dengan isterinya untuk membuat tuntutan gaji palsu selama dua tahun berjumlah RM263,810.

Tertuduh, Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mohd Iqbal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dituduh bersubahat dengan seorang yang masih bebas iaitu isterinya, Siti Aisyah Mohamad Amir, 31, yang juga Eksekutif Sumber Manusia Hovid Berhad, mengemukakan dokumen tuntutan gaji palsu dengan memasukkan nombor akaun miliknya, sedangkan dia bukan pekerja syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama di Pejabat Hovid Berhad, di sini pada masa berbeza iaitu antara 31 Mei 2018 hingga 30 Jun 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan dibaca bersama Seksyen 18 serta boleh dihukum di bawah Sekyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Terdahulu, Nurul Wahida tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh melarikan diri, tambahan isteri tertuduh ketika ini masih bebas dan usaha mengesannya sedang dilakukan.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan mengambil kira anak guamnya membuat sendiri laporan dan menyerah diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat dijamin RM125,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin serta syarat tambahan, perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM dua kali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 17 Jun 2021. – HM