‘Langkawi sudah tiada roh’ – Netizen cadang orang Kedah perlu contohi Melaka pulihkan industri pelancongan

‘Langkawi sudah tiada roh’ – Netizen cadang orang Kedah perlu contohi Melaka pulihkan industri pelancongan

 

LANGKAWI sejak sekian lama sudah menjadi antara destinasi pelancongan atau percutian pilihan ramai tidak kira warga asing mahupun tempatan.

Namun, kawasan yang terletak di negeri Kedah itu dilaporkan sudah tidak mendapat sambutan hangat lagi seperti dahulu sejak penularan wabak Covid-19.

Hal ini dikatakan menjadi lebih serius apabila pada Selasa, media tempatan melaporkan bahawa ramai pengusaha industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan dikatakan sudah semakin tenat.

Ia disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir yang mengatakan bahawa senario tersebut menimbulkan kebimbangan kerana hanya 10 peratus tempahan hotel tiga bintang yang direkodkan setakat ini menjelang cuti Deepavali pada 12 November nanti.

Pada masa sama, warganet turut dilihat menyuarakan pendapat tentang kemerosotan dan kejatuhan industri pelancongan di Langkawi itu.

msg1050426791-18591

Salah seorang warga maya @asrulmm yang juga merupakan anak jati Kedah tidak menafikan bahawa Langkawi seakan-akan sudah hilang roh.

“Sebagai anak jati Kedah, aku nampak Langkawi sudah hilang ‘roh’. Sampai je di jeti atau airport (lapangan terbang), toleh kiri kanan, yang aku nampak cuma commercialism. Pantai Cenang cuba berusaha untuk jadi Kuta wannabe. Kos pergi Langkawi pun lebih kurang macam pergi Bali, Indonesia,” tulisnya.

Seorang lagi warganet juga meluahkan perkara sama serta dilihat kesal dengan pembangunan hotel yang berhampiran kawasan pantai sehingga menjejaskan aktiviti pengunjung.

“Di Malaysia ni tak boleh ke buat hotel di seberang pantai, bukan di kawasan pantai. Di Langkawi hampir semua pantai dah jadi private milik hotel, orang awam nak pergi berkelah pun tiada tempat dah. Negara lain elok je buat hotel seberang jalan pantai, bukan betul-betul kawasan pantai,” komen @_muhaimin26.

Dalam pada itu, pengguna akaun Facebook Muhammad Nasrun yang juga Ketua Pemuda Umno, tidak menyangkal bahawa isu tersebut timbul kerana ramai peniaga yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga tinggi.

“Langkawi ni tempat yang cantik, banyak sejarah dan menarik untuk dikunjung. Tapi sayang, kebanyakan peniaga mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi untuk dipukul rata dengan pelancong asing. Natijahnya, orang datang sekali je selepas itu tak datang dah,” tulisnya.

Sementara itu, ada yang juga memandang positif terhadap perkara yang berlaku dengan memberi pendapat tentang inisiatif yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Mungkin rakyat Kedah sendiri boleh ramai-ramai datang ke Langkawi, hari bekerja atau cuti ke.

“Balik hari ke kan. Sebab dah sangat-sangat dekat. Seperti negeri saya, Melaka, orang-orang Melaka sangat sokong segala events yang ada di negeri kami,” komen @nurulhidayahnhm.